
Pertama-tama hendaklah ia meneliti akan lidahnya. Apa lidahnya itu sedang didatangi oleh bencana-bencana seperti mengumpat ,suka berbohong , suka memuji diri menghina dan mengenjek , suka berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara atau bergurau kasar , atau suka menjaga tepi kain orang dan sebagainya daripada perkara-perkara yang tercela.
Yang penting sekali , hendaklah ia mengingatkan dirinya , bahawa sifat-sifat itu adalah sifat yang dibenci oleh Allah Ta'ala. Kemudian hendaklah ia cuba mengingatkannya pula dalil-dalil dan hujah-hujah Al-Quran Al-Karim dan hadis Rasulullah s.a.w yang mengancam dengan berbagai-bagai azab dan siksaan Allah Ta'ala ke atas sesiapa yang bersifat demikian , supaya ia dapat menjauhkan dirinya daripada sifat-sifat tersebut.

Kedua , hendaklah dia meneliti pula akan telinganya. Apakah telinganya itu suka mendengar caci-maki orang, suka dengar cakap-cakap bohong dan cakap-cakap kosong yang tidak ada kena mengena dengan dirinya sendiri dan suka mendengar kata-kata lucah yang melalaikan diri.
Kalau demikianlah hematnya, hendaklah dia menjaga dirinya daripada gejala-gejala tersebut.
Ketiga, hendaklah dia meneliti akan perutnya . Apakah perutnya itu juga turut bermaksiat kepada Allah Ta'ala dalam soal makan minum samada dengan terlampau banyak mengisikan perutnya dengan bermacam-macam makanan yang halal , kerana yang demikian itu adalah tercela di sisi Allah Ta'ala . Ataupun mengisikan perutnya dengan makanan-makanan yang haram , kerana yang demikian itu dilarang pula. Maka hendaklah dia memikirkan cara-cara bagaimana ia dapat menahan dirinya supaya tidak tercebur ke dalam gejala-gejala tersebut , di samping memikirkan juga cara-cara untuk memperoleh makan minum dengan jalan yang halal dan mengesan semula akan sumber-sumbernya.
Sebaik-baiknya dia mengingatkan juga akan dirinya , bahawa semua ibadat-ibadat yang dilakukannya itu akan menjadi sia-sia sahaja jika makan minumnya itu bersumber dari yang haram , dan bahawa makan minum yang halal itulah asas utama bagi penerimaan semua ibadatnya.
Demikianlah seterusnya , cara seseorang itu memikirkan terhadap anggota-anggota yang lain , sehingga dia dapat memeliharanya dari bahaya-bahaya yang boleh membinasakan amalan dirinya sendiri.
* "Perbanyakkanlah mengingat-ingat tentang perkara-perkara yang menghapus kelazatan(maut)"
*"Sepintar-pintar manusia ialah orang yang meningati mati dan sentiasa bersedia menghadapinya . Mereka itulah orang-orang yang bijaksana. Mereka telah pergi dengan penghormatan dunia dan kemuliaan akhirat"
Jadi rakan-rakan, mari kita ambil kesempatan ini untuk muhasabah diri. Semoga usaha kita untuk mendekati diri kepada Jalan Allah sentiasa diberkati dan diredhai Allah Ta'ala.. =D
No comments:
Post a Comment